Thursday, July 21, 2011

TAZKIYATU AL-NAFS DAN RAMADHAN

TAZKIYATU AL-NAFS DAN RAMADHAN

1. Perkataan tazkiyatu al-nafs boleh diertikan dengan penyucian jiwa. Ia merupakan proses yang perlu dilalui untuk mencapai maksud penyucian dan pembersihan. Imam al-Ghazali (505H) menyatakan bahawa tazkiyah adalah tarbiyah yang bermaksud pendidikan. Yang ingin dibersihkan dan dididik di sini adalah jiwa kita, yang merupakan aspek dalaman, kerana dalaman seseorang akan mempengaruhi luaran dan tindakannya. Tindakan itulah pula yang dipanggil sebagai akhlak.

Jangan lupa zikrullah

2. Asal perkataan ini mempunyai kaitan dengan tugas seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah Azza wa Jalla kepada umat manusia. Selain daripada tilawah(membacakan) dan ta’lim (mengajarkan), maka tugas utama Rasul adalah tazkiyah(membersihkan), sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 129bermaksud:
Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Kitab (al-Qur’an) serta hikmah (al-Sunnah) dan membersihkan (jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa, lagi maha bijaksana.

3. Begitu juga kita dapati penegasan tiga tugas ini menerusi firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 164 dan surah al-Jumu’ah ayat 2. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan tentang ayat ini bahawa:
Iaitu menjadikan mereka mempunyai hati yang suci bersih dengan keimanan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Abbas. Dan dikatakan juga maknanya membersihkan mereka daripada kekotoran kekufuran dan dosa sebagaimana yang disebut oleh Ibn Juraij dan Muqatil. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)

4. Manakala Ibn Kathir (774H) pula menyebut bahawa tazkiyah adalah proses pembersihan, katanya:
Barangsiapa yang menyucikan jiwanya dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan membersihkannya daripada keburukan. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)

Proses tazkiyah
5. Tazkiyah melalui dua proses iaitu al-takhalliyah (mengosongkan) dan al-tahalliyah(memperhiasi). Iaitu mengosongkan dan membuang segala sifat buruk daripada diri, seperti riya’, ‘ujub, hasad dengki dan sebagainya. Seterusnya memperhiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia seperti tawadhu’, sabar, mengingati mati dan lain-lain.

6. Al-Tahalliyah juga bertujuan untuk meningkatkan maqam (kedudukan) jiwa kepada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an terdapat terdapat tiga maqam jiwa manusia, maka al-tahalliyah adalah proses meningkatkan daripadaammarah bissu’ (menyuruh kepada kejahatan) kepada al-lawwamah (sentiasa mencela) dan seterusnya kepada mutm’innah (tenang).

7. Jiwa yang tenang inilah yang perlu kita capai kerana ia mendapat keredhaan Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Fajr ayat 27-30 bermaksud:
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan keyakinan. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai oleh Tuhanmu. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.

Hukum tazkiyatu al-nafs
8. Menurut Imam Ghazali, hukumya adalah fardhu ain bagi setiap manusia. Ini berdasarkan kepada peristiwa pembelahan dada nabi SAW oleh malaikat Jibril untuk membersihkan jiwa nabi SAW daripada kekotoran. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa:
Jibril telah datang kepada nabi SAW yang sedang bermain denga dua kanak-kanak, Jibril pun mengambil nabi dan membelah dadanya dan hatinya dikeluarkan, lalu berkata: Ini adalah tempat syaitan daripadamu, kemudian dibasuhnya dengan air zam-zam, seterusnya dikembalikan semula ke tempat asalnya. (Riwayat Muslim)

9. Manakal Jumhur ‘ulama’ berpendapat bahawa hukum tazkiyatu al-nafs adalah fardhu kifayah, kerana asal jiwa manusia adalah bersih dan baik, kerosakan dan keburukan datang kemudian. Mereka bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikan dia Yahudi, atau Nasrani atau Majusi. (Riwayat al-Bukhari)

10. Walau bagaimanapun, kita perlu ketahui bahawa manusia sangat terdedah kepada maksiat. Maka tazkiyatu al-nafs adalah kemestian yang berterusan. Ini kerana bukan setakat jiwa dan nafsu yang perlu kita hadapi, tetapi juga syaitan yang telah berjanji kepada Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari akhirat. Inilah yang telah Allah Azza wa Jalla dedahkan kepada kita sejurus penciptaan nabi Adam AS menerusi firmanNya dalam surah al-A’araf ayat 16-17 bermaksud:
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.

Mengapa mesti tazkiyatu al-nafs?
11. Banyaknya kerosakan dan fitnah di atas muka bumi ini menuntut kita untuk membersihkan jiwa kita. Daripada yang kita lihat di hadapan mata, yang kita dengar dengan telinga kita, bahan bacaan yang bercampur di antara halal dan haram, sehinggalah makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh kita menjadikan kita wajib mencari ruang untuk kembali semula kepada syari’at. Jiwa kita perlu dibersihkan dan disucikan kembali daripada semua perkara tadi. Jiwa akan menjadi keras dan berkarat sebagaimana berkaratnya besi, maka ia perlu dikikis menurut kaedah nabi SAW. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya bagi hati itu karat sebagaimana berkaratnya besi, dan cara mengikisnya ialah dengan beristighfar. (Riwayat al-Tabrani)

12. Istighfar adalah salah satu rawatan dalam tazkiyatu al-nafs. Begitu juga dengan zikrullah (mengingati Allah). Ia tidak mesti dilakukan setiap kali lepas solat lima waktu, bahkan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada sedang duduk, memandu kenderaan, berbaring dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 191 ketika menyebut golongan ulu al-albab:
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk, dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

13. Selain itu, kita juga yang dituntut untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kejahatan, maka ia bermula dengan diri kita. Sebelum mendidik orang lain, kita perlu mendidik diri kita dahulu. Jadi, ia menjadi tanggungjawab peribadi yang perlu dilakukan. Kegagalan melakukannya boleh membawa kepada gagalnya usaha membetulkan orang lain.

14. Oleh itu, kita perlu bersungguh-sungguh dengan mujahadah yang sebenar untuk menyucikan jiwa kita. Pelbagai wasilah boleh diambil untuk mencapai objektifnya, dan Ramadhan merupakan salah satu daripadanya, ia merupakan peluang yang besar untuk menundukkan jiwa dan nafsu kita. Rebutlah peluang keemasan ini dan berlumba-lumbalah untuk beribadah dengan cara yang paling berkualiti. Sentiasa merasakan sedikitnya amal dan banyaknya dosa dan maksiat yang dilakukan mampu menjadikan kita istiqamah dalam usaha ini. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Al-‘arif (orang yang bijak) itu ialah orang yang memandang kecil kebaikannya dan memandang besar akan dosanya. Setiap kali kebaikannya kecil pada pandangannya maka ia adalah besar di sisi Allah, dan setiap kali dosanya besar pada pandangannya maka ia adalah kecil di sisi Allah. (Ibn al-Qaiyim, Madarij al-Salikin Baina Manazili Iyyaka Na’budu wa Iyyaka Nasta’ien, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, jld 1, hlmn 265)

15. Kesimpulannya, kita mesti melakukan tazkiyatu al-nafsi dengan pelbagai wasilah yang telah dianjurkan, dan Ramadhan adalah masa yang paling sesuai untuk dimaksimumkan ke arah itu.

No comments:

Post a Comment