Definisi Ajaran Sesat
Istilah Ajaran Sesat adalah istilah yang lazim dan popular yang digunakan di kalangan masyarakat Malaysia kebelakangan ini terutamanya pihak birokrasi agama dan media arus perdana di Malaysia. Di samping itu, terdapat beberapa istilah lain yang kerap digunakan dalam media arus perdana yang mempunyai konotasi makna lebih kurang sama dengan ajaran sesat iaitu ajaran salah, pencemaran akidah dan penyelewengan akidah.
Istilah ‘penyelewengan akidah’ adalah ungkapan yang cuba menggambarkan bentuk akidah yang sudah menyimpang ataupun tidak menurut landasan dan perintah yang ditetapkan di dalam al-Quran dan sunnah. Sudah tentu dalam konteks Malaysia, ia menyimpang daripada pegangan Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah. Selanjut, apabila ditinjau sebab-sebab berlaku penyelewengan akidah, sudah tentu ia tidak lari daripada anutan fahaman-fahaman yang diresapi unsur-unsur yang tidak selaras dengan ajaran sebenar al-Quran dan sunnah serta formula yang diijtimakkan oleh golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Perlu ditegaskan, gejala ajaran sesat bukan hanya berlaku di dunia Islam, malah gejala itu turut berlaku di dunia bukan Islam seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun, China dan sebagainya. Di Britian, gejala ajaran sesat ini dikenali sebagai ‘The New Religious Movetnent’. Istilah itu digunakan oleh Eileen Barker di dalam bukunya yang bertajuk New Religious Movements yang diterbitkan pada tahun 1982 di New York. Di Britian sahaja, terdapat lebih daripada 500 buah kumpulan seumpama ini. E. Barker yang menulis buku itu menyenaraikan beberapa kumpulan baru seperti Aetherus Society, Ananda Marga, Brahma Kumaris, Nichiren Shoshu Budhism, Unification Church dan banyak lagi.
Di Amerika Syarikat pula, istilah ‘The New Religions’ digunakan oleh Jacob Needlemen dalam bukunya yang bertajuk The New Religions yang diterbitkan di New York tahun 1970. Di dalam buku itu, J. Needlemen menyenaraikan beberapa kumpulan yang dianggap baru seperti Zen Buddhism, Meher Baba, Subud, Transcendetal Meditation, Krishnanmurti dan lain-lain lagi.
Sementara itu, Melton J. Gordon pula menggunakan istilah cult merujuk pada gejala ajaran sesat di dalam bukunya Encyclopaedic Hand Book of Cults in America. Selain daripada itu terdapat pula istilah-istilah lain yang digunakan bagi merujuk pada gejala ajaran sesat iaitu cults, occult,black maqic dan mystics.
Buku-buku itu secara keseluruhan membincangkan kemunculan berbagai-bagai ajaran baru dengan agak panjang lebar. Istilah agama-agama baru ini digunakan mungkin bagi merujuk pada kumpulan-kumpulan ajaran yang meyeleweng dan berlawana dengan agama-agama lama yang dominan di dunia seperti Budhisme, Hinduisme, Judaisme, Kristian, Islam, Confucianisme dan Taoisme.
Kesimpulannya, konotasi makna istilah-istilah yang dihuraikan pada dasarnya tidak berlawanan antara satu sama lain. Sebaliknya berkait rapat sehinga semua istilah itu daripada segi penggunannya saling kuat-menguatkan dan dapat ditukar gantikan antara satu sama lain bagi merujuk pada kesesatan ajaran yang dianuti.
Definisi daripada Segi Bahasa dan Istilah
Istilah ‘ajaran sesat’ adalah istilah yang besifat relative kerana terdapat banyak takrifan dan definisi yang diberikan oleh pelbagai pihak. Menurut Kamus Dewan, ajaran ditakrifkan sebagai segala perkara yang diajarkan, nasihat, petunjuk, teori dan mazhab. Manakala ‘sesat’ pula ditakrifkan sebagai tidak mengikut jalan yang betul, berslah (tersilap) jalan, terkeliru (perbuatan, kepercayaan) dan menyimpang daripada jalan yang benar.
Oleh itu, dapat disimpulkan dalam penggunaan Bahasa Melayu, ajaran sesat adalah ilmu yang diajar dan disebarkan sama ada secara rahsia mahupun secara meluas kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran asal.
Ajaran sesat ditakrifkan oleh Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atupun bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan ajaran Islam. Hakikatnya, ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islam, bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahli as-Sunnah wa al-Jamaa’ah.
Takrif di atas apabila diperhalusi, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan selaras dengan konsep penyelidikan sebenar. Pertama, ayat “sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang Islam” lebih sesuai diubah kepada “sebarang ajaran ataupun amalan yang diasaskan dan didukung oleh orang-orang Islam”. Ini kerana perkatan ‘dukung’ bermaksud memikul atau menyokong dan berusaha dan sebagainya bagi menjayakan, memperkukuhkan, menegakkan dn memperjuangkan satu fahaman.
Manakala ungkapan “orang-orang bukan Islam” pula dikekalkan dalam takrif itu kerana terdapat juga sebahagian ajaran yang menyelewengkan daripada Islam didukung oleh orang-orang bukan Islam. Namun akhirnya dianuti oleh umat Islam seperti ajaran Komunisme, Kapitalisme, Sekularisme, Kristian dan lain-lain lagi.
Seterusnya, susunan rujukan utama dalam Islam dalam takrif asal didapati tidak teratur yang bermula dengan akidah Islam, kemudian al-Quran dan sunnah dan akhirnya dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jamaa’ah.
Oleh yang demikian ajaran sesat dapat ditakrifkan sebagai “Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan pada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.”
Profesor Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim mendefinisikan ajaran sesat sebagai ajaran dan amaln yang bertentangan dengan Islam. Pada satu masa lain, Prof. Dr. Abdul Fatah menghubungkaitkan ajaran sesat dengan tasawuf (tarekat). Ini kerana masyarakat Islam dewasa ini meletakkan tasawuf (tarekat) bukan pada tempat yang sebenar. Natijahnya, ilmu tasawuf (tarekat) bertukar wajah sebagai ajaran sesat akibat sesat akibat penglibatan masyarakat awam yang bukan daripada kalangan ahli falsafah dalam masalah ilmu falsafah.
Berdasarkan definasi yang dinyatakan, segala ajaran sama ada daripada aspek akidah, ibarat dan tasawuf yang terjelma dalam anutan dan pegangan hidup yang diresapi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti Batiniyyah, Hinduisme, Neoplatonisme, penafsiran menyeleweng pada al-Quran, hadis serta menggunakan hadis palsu. Hasilnya, segala ramuan yang teradun dan teranyam rapi menjadi citra kepada apa yang diungkapkan sebagai ajaran sesat.
Dalam bahasa Inggeris, ajaran sesat dikenali dengan istilah cult yang merujuk pada kumpulan agama yang patuh kepada seorang pemimpin yang dihormati yang membawa ajaran baru ataupun amalan rohani yang laur biasa. Istilah lain yang popular digunakan di kalangan ahli akademik Barat yang merujuk pada ajaran sesat adalah New Religion Movement. Dalam bahasa Arab, ajaran sesat diterjemakan kepada beberapa istilah. Antaranya al Falsafah al Dahriyyah iaitu aliran yang mendukung fahaman mengingkari wujudnya Tuhan maha pencipta, maha mengetahui dan maha berkuasa. Mereka menganggap alam ini wujud dengan sendiri tanpa ada pencipta dan mereka adalah golongan zindiq.
Jelas di sini, perkataan sesat dalam bahasa Arab diterjemahkan kepada dalla yadillu dalalan. Merujuk pada kehilangan sesuatu, jauh daripada kebenaran, menyimpang, terkeluar dan menyeleweng daripada jalan yang lurus. Lawan bagi perkataan hudan yang bermaksud hidayah petunjuk.
Ahmad Rida pula mentakrifkan dalal dengan pengertian segala perkara yang terkeluar dan menyimpang daripada kebenaran sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja, banyak ataupun sedikit.
Manakala dalal daripada sudut istilah akidah pula adalah menyimpang daripada jalan yang lurus iaitu Islam yang disyariatkan Allah kepada sekalian manusia. Tidak mengambil kira sama ada secara sengaja mahupun tidak. Pendek kata, orang yang sesat adalah orang yang menyeleweng dan menyimpang daripada agama Allah.