Monday, March 14, 2011

DI SEBALIK KEJADIAN POKOK




Perhatikan pokok buah-buahan . Renungi keajaibannya. Pelajari sesuatu daripadanya. Cungkil sesuatu yang lebih tersirat dan tersembunyi di sebalik ciptaan Allah ini.

Pokok buah-buahan yang bermacam-macam jenis ini tumbuh di atas tanah yang sama, mendapat air dari tanah atau sungai yang sama, mendapat cahaya daripada sinaran matahari yang sama, mendapat garam galian (baja) daripada sumber yang sama , tetapi aneh, rasa buah-buah itu tidak sama.

Rasa buah manggis tidak sama dengan rasa buah durian walaupun kedua-duanya tumbuh bersebelahan. Tidak pernah kita makan buah langsat dengan rasa buah rambutan walaupun kedua-duanya tumbuh di atas tanah yang sama. Aneh bukan? Memang aneh tetapi kita tidak terasa keanehan sebab sudah terlalu biasa.

Memang ia sesuatu yang lumrah. semua orang tahu, rasa buah-buah tidak sama. Namun mari kita buat perbandingan. Seorang chef yang terkemuka diberi bahan yang sama, peralatan memasak yang sama dan jangkamasa yang sama, lalu disuruh memasak makanan yang mempunyai kepelbagaian rasa. Mampukah dia? Dia tidak akan mampu melakukannya. Mungkin dia berjaya memasak makanan yang pelbagai bentuk atau rupa tetapi jika bahan-bahannya sama, rasanya mesti sama atau hampir-hampir sama.

SANGAT LUAR BIASA
Renungkan kuasa Allah yang telah menumbuhkan segala jenis pokok buah-buahan tetapi dengan rasa yang pelbagai walaupun semua bahan utamanya - air, tanah, garam galian, cahaya - adalah sama. Bukan itu sahaja bentuk luarannya berbeza, rasanya pun turut berbeza. Ini sesuatu yang sangat luar biasa walaupun kita sudah terbiasa dengannya.

Maha suci Allah yang kebijaksaanNya dan keperkasaanNya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Apabila kita makan buah-buahan, jangan hendaknya kita merasa buah itu semata-mata tetapi 'rasakanlah' juga kebesaran dan keagungan Allah. Ingatlah Pemberi nikmat, jangan hanya terkesima dengan nikmat!

No comments:

Post a Comment