Friday, April 1, 2011

Diam Itu.......Tenang


Selalunya kita memilih untuk memperkatakan apa yang kita rasa...perasaan kita, pendapat kita dan cadangan kita... Pendeknya kita senang berbuat demikian...berkongsi cerita...
Tiada salahnya, malah dari sudut psikologi kita digalakkan berkongsi rasa melalui komunikasi... Sesetengah orang menjadikan cermin muka sebagai teman bicara, ada juga yang menjadikan haiwan kesayangan sebagai tempat mengadu, ada juga yang meluahkan segalanya di dalam diari dan aku lebih suka berbincang hati ke hati dengan sahabat yang benar-benar memahami dan responsif.
Biarpun begitu, berdiam diri adalah salah satu cara memotivasikan diri atau merawat hati yang parah. Dengan mulut yang terkunci dan rasa yang tersimpan, diri akan menjadi tenang. Mereka yang berpegang pada falsafah ini menganggap diam sebagai:

IBADAH TERMUDAH
Diam menghasilkan pahala jika niatnya tidak mencampuri urusan orang lain yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya. ika ditambah zikir di dalam hati pahalanya sudah tentu bertambah. Dalam keadaan demikian ia tidak memerlukan pelampiasan perasaan untuk mencapai kelegaan, cukup dengan mengeratkan hubungan dengan TUHAN... "Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

PERHIASAN TANPA MODAL
Seorang wanita yang diam sudah tentunya lebih menarik berbanding wanita yang kepoh... Ketenteraman sesebuah rumahtangga dapat dilihat apakah seseorang suri rumah itu banyak berdiam seraya menghadiahkan senyuman manis buat suami atau seorang yang berleter sehingga menghilangkan seri wajahnya sendiri.

BENTENG TANPA PAGAR
Orang cerdik yang pendiam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak cakap. Brcakap itu ibarat melepasi tebing atau benteng dan diam itu adalah membina sempadan tanpa perlu mendirikan pagar. Membentengi diri daripada perkataan-perkataan yang memakan pagar amatlah penting untuk mengekalkan kebahagiaan hati.

SI KAYA TANPA MEMERLUKAN HARTA
Orang yang benar-benar kaya adalah orang yang tidak mempunyai hutang dan tidak mempunyai musuh. Dengan lebih banyak berdiam seseorang itu mungkin tiada musuh dan akhirnya kaya pahala.
"Barangsiapa diam, maka dia terlepas daripada bahaya" (Riwayat at-Tirmidzi).

MENUTUP AIB DIRI
Menasihati orang yang salah itu tidaklah salah. Yang salah ialah memikirkan kesalahan orang serta memperkata-katakannya kepada orang lain. Kalau orang menghina kita, bukan kita yang terhina, tetapi orang yang menghina itulah yang menghina diri sendiri.
Syaitan menjadi lemah dengan orang yang bersifat diam. Tatkala dia sepatutnya berbalah tetapi dia masih diam. Kita boleh bersifat agresif dan bertindak dengan setiap masalah yang kita hadapi, namun berdiam diri adalah yang terbaik kerana melambangkan kekuatan dalaman. Pada ketika tertentu, diam seribu bahasa lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata.

Petikan Majalah NONA, Julai 2003

No comments:

Post a Comment