Thursday, March 31, 2011

BAHAGIA ITU APABILA MEMBAHAGIAKAN..


Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.

Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?

Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.

Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.

Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic' – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.

Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!

Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang "sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara...

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

ALLAH AKAN KEMBALIKAN FITNAH KEPADA TUANNYA



ALLAH AKAN KEMBALIKAN FITNAH KEPADA TUANNYA

Assalamualaikum moga diberikan kekuatan di dunia
ini. Dewasa ini penulis asyik dok dengar pelbagai-bagai fitnah maklum la sekarang dunia serba boleh. Moga orang yang buat fitnah itu bertaubat dan orang yang difitnah itu bersabar la dan yakin Allah bersama orang yang dizalimi. Penulis tertarik dengan ucapan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di Shah Alam berkenaan dengan fitnah moga sama-sama kita mengambil pengajaran. Apa kata nya : tidak mustahil Allah kembalikan fitnah kepada tuan punya serta menjadikan fitnah tersebut sebagai sumber kebangkitan rakyat melakukan perubahan..

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Menurut beliau, Islam mengajar umatnya supaya menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu setiap berita yang diperolehi bagi mengelak berlaku fitnah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Beliau juga menjelaskan bahawa sesuatu fitnah itu akan laku untuk beberapa waktu kerana kebenaran akan terselah juga akhirnya.

Menurut beliau, apabila fitnah itu datang sukar untuk membezakan sama ada betul atau tidak kerana manusia akan menjadi kelam kabut.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan seluruh umat Islam bahawa fitnah ibarat suatu yang sedang tidur dan Allah akan melaknat sesiapa saja yang mengejutkan (melemparkan) fitnah.



Tuesday, March 29, 2011

BUAH KELAPA....?

Assalamualaikum bersyukur kepada Allah s.w.t dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Moga diberikan kekuatan ketakwaan dan keimanan yang jitu kepada kita semua.

Pada hari ini dan seperti biasa selepas Magrib Masjid kampung penulis diisi dengan kuliah Magrib yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang telah dijadualkan oleh ahli jawatankuasa masjid. Kuliah Magrib kali telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr. Shahbudin Ngah.



Rektor KUIZM, Dr. Shahbudin Ngah


Disini penulis ingin kongsikan kepada pembaca antara peringatan yang diberikan oleh Dr. Shahbudin Ngah ialah " ingatlah bahawa kita ini adalah seperti Buah Kelapa kerana Buah Kelapa itu gugur tidak ikut waktu adakala masih muda gugur dulu dari yang tua dan adakala tua baru muda begitulah perumpamaan kematian sebenarnya yang dibawa oleh Dr. Shahbudin Ngah dalam mengingatkan kepada jemaah tentang kematian dan ambillah kesempatan yang masih hidup ini untuk bertakwah kepada Allah dan hidup dalam kehidupan Islam yang sebenarnya.




" Kematian itu perumpamaan Buak Kelapa"

FITNAH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!



Allah laknat individu sebar serta percaya berita palsu dan pembohongan. Para pembaca yang dirahmati Allah s.w.t hanya orang yang pernah difitnah betul-betul dapat merasai derita dan perit apabila di fitnah..Betul lah apa yang diberitahu pada kita semua bahawa fitnah itu lebih dosa besar dari membunuh.. Oleh demikian penulis memohon dan menyeru termasuk diri penulis janganlah kita menjadi orang yang pembuka dan penyebab fitnah itu..Ingat! jika selagi fitnah itu berterusan akan berterusan lah dosa pemfitnah itu..moga bertaubat lah..


Di bawah ini ada satu pepatah sabda Nabi s.a.w yang penulis dapat dari sebuah buku 187 Pepatah Sabda Nabi S.A.W yang telah dihadiahkan kepadaku moga dirimu sentiasa dirahmati Allah s.w.t dan moga buku ini bermanfaat bagiku -17 okt 2010-


Sumber Ummu Al-Mukminin Aisyah radhiyallaahu ‘anhu(r.a) memberitakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:



أبغض الرجال اٍلى الله الألد لخصم




Ertinya:


“Orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang degil menentang kebenaran lagi keras bertengkar menegakkan kepalsuan.


PERBUATAN fitnah-memfitnah membayangi masyarakat akhir-akhir ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Akan muncul suatu ketika yang mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim) Fitnah, sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang atau memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan. Ia boleh berlaku dalam bentuk lisan, tulisan seperti surat layang, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel. Lazimnya perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama. Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Membunuh hanya membabitkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat. Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini.

Diceritakan

kononnya pada zaman dulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana lelaki itu menganggap memfitnah sesuatu yang ringan dan remeh, maka ia bersetuju membeli hamba lelaki itu. Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mulalah berkata kepada isteri majikan bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu pun mencadangkan isteri majikan cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya. Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur. Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya lantas ia berusaha mendapatkan pisau yang tajam. Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur.



Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun, merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Keesokan harinya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian itu dengan berbunuhan antara kedua-dua belah pihak. Kisah itu memberi dua pengajaran penting.


Pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh, kerana boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat.


Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita di sampaikan oleh seseorang.


Sebenarnya untuk menilai kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Ada beberapa ayat al-Quran dapat dijadikan panduan dalam perkara ini.



Antaranya firman Allah bermaksud, "Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah sudah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada semua umat Islam supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik. Seseorang mukmin dilarang ter

gesa-gesa mempercayai sesuatu berita yang disebarkan atau jangan terlalu cepat menafikannya sebelum menyelidiki terhadap kebenaran sesuatu berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.



Maksudnya, kerana sikap tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak


baik berdasarkan sesuatu berita disebarkan, menyebabkan orang yang diberitakan itu mendapat hukuman, padahal ia tidak melakukan kesalahan pun. Dalam hal ini jelas berlaku penganiayaan dan kezaliman.


Selain itu, ada beberapa panduan menghadapi berita fitnah. Abu Laith al-Samarqandiy berkata, "Kamu harus menghadapi berita fitnah dengan enam cara.


Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya.


Kedua, kamu harus mencegah daripada fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib.


Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa.


Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab buruk sangka terhadap sesama Muslim hukumnya haram.


Kelima, jangan kamu selidik keadaan orang yang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang.


keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah yang disebarkan itu." Justeru, kita seharusnya beringat, dalam usaha menolak sebarang berita fitnah jangan pula sampai kita membuat fitnah terhadap si pembawa atau pembuat fitnah itu. Kita harus menjaga perpaduan sesama umat Islam dan bangsa lain. Perbuatan memfitnah jelas dilarang oleh syariat Islam. Maka kita hendaklah berusaha menghindari berbuat fitnah. Fitnah jika dibiarkan akan terus melekat di hati seseorang.




Sunday, March 20, 2011

KELUARGA BAHAGIA..

KELUARGA BAHAGIA

Kali ini penulis ingin berkongsikan beberapa tips keluarga bahagia yang telah dirangka oleh kerajaan negeri Selangor yang begitu optimis dalam memperkasakan institusi keluarga di Selangor ini. Penulis yakin tips ini boleh dijadikan rujukan pada semua keluarga negeri di Malaysia ini..Boleh dilihat bersama-sama dibawah ini:

10 AGENDA BERTINDAK

PROGRAM PEMERKASAAN INSTITUSI KELUARGA

1 MENENTUKAN SETIAP AHLI KELUARGA MENGIKUT MAJLIS ILMU DI MASJID ATAU SURAU SEBAGAI LANGKAH MEMANTAPKAN AMALAN KEISLAMAN SEKELUARGA.

2 MEWAJIBKAN SELURUH AHLI KELUARGA MENUNAIKAN SOLAT FARDHU SEBAIK-BAIKNYA BERJEMAAH.

3 MENJADUALKAN HARI YANG BERKUALITI KHUSUS UNTUK AKTIVITI BERSAMA KELUARGA.

4 MENGADAKAN PROGRAM SALING MENZIARAH ANTARA KELUARGA BAGI MENENTUKAN SELURUH AHLI KELUARGA HIDUP DALAM KENAL MENGENAL.

5 MENENTUKAN SETIAP AHLI KELUARGA MENJADIKAN AKTIVITI MEMBACA AL-QURAN DAN MEMAHAMI ISI KANDUNGANNYA SEBAGAI AKTIVITI HARIAN.

6 MEWAJIBKAN ANAK-ANAK YANG SUDAH MEMPUNYAI PENDAPATAN SENDIRI MENYUMBANG KEPADA IBUBAPA YANG SUDAH TUA.

7 MEMASTIKAN SETIAP AHLI KELUARGA MEMATUHI TUNTUTAN SYARIAT SEPERTI MENUTUP AURAT DAN MENJAGA TATASUSILA PERHUBUNGAN DI ANTARA MEREKA.

8 MENGIGATKAN ANAK-ANAK SUPAYA SENTIASA MENDAHULUKAN IBUBAPA DAN MENANAMKAN SEMANGAT MENGKHIDMATI MEREKA.

9 MEMASTIKAN SETIAP AHLI KELUARGA MELIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI KEJIRANAN DAN KEMASYARAKATAN SEPERTI PROGRAM GOTONG-ROYONG DAN SEBAGAINYA.

10 MEMBIASAKAN ANAK-ANAK MEMBERI SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN YANG KURANG BERNASIB BAIK SEPERTI ANAK YATIM, IBU TUNGGAL DAN SEBAGAINYA.

Saturday, March 19, 2011

Memagari Diri Dari Sihir.....


MEMAGARI DIRI DARI SIHIR


Cara memagar diri dari ilmu hitam (sihir). Di bawah ini ini dinyatakan cara-cara atau amalan yang boleh di lakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam.? Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda.Ia boleh menyerang anda..ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.

Pagar Pertama (1)

Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah


Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama
dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:

"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan
mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".
[Riwayat al Bukhari]


Pagar Kedua (2)

Berwuduk sebelum tidur


Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal
ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada
mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W.:
Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan
kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci
terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walau pun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah! Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci'"
[Riwayat at Tabraaniy dengan sanad yang baik]

Pagar Ketiga (3)

Mengambil berat tentang solat berjemaah

Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim
bebas serta aman dari gangguan syaitan.Bersikap sambil lewa terhadap solat
berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi
mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a.,Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
Ertinya: 'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya
akan didampingi ?oleh syaltan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari
puaknya.'
[Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik]


Pagar Keempat (4)

Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari sihir

Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah- mudahkannya. Sifat mempermudah- mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.

Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata:
Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah

S.A.W. pun bersabda: Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing didalam
telinganya"
[Riwayat al Bukhari dan Muslim]


Pagar Kelima (5)

Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan cuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah
dirasuk oleh syaitan.

Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa
perlindungan dengan berkata :
Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan".
[Riwayat al Bukhari dan Muslim]
Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.


Pagar Keenam (6)

Memagar isteri selepas selesai akad nikah

Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa :
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi keatasnya, dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku
ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir
dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya"
[Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik]


Pagar Ketujuh (7)

Berwuduk sebelum tidur,membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap

Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah:
"Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa
di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi'.

Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil berkata:
"Ia telah bercakap benar kepada engkau, wahal sendiri sememangnya penipu"
[Riwayat al Bukhari.]

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran

Assalamualaikum hari ini penulis ingin kongsikan berkenaan kehebatan Syurga berdasarkan Al-Quran. Penulis telah mendapat artikel ini daripada iluvislam.com moga memberi manfaat dan semangat kepada kita semua dalam menuju ke tempat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Amin………

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.