Sunday, July 31, 2011

RAMADAN BULAN BERKAT....


Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan, doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa

Isilah bulan ini, banyakkan amalan
Beribadah malam, siang berpuasa
Banyakkanlah sedekah jgn dikira
Moga ia menjadi penebus dosa
Membaca Al-Quran jgn dilupakan
Zikir dan Tasbih elok disertakan
Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara
Agar Ramadhan tidak sia-sia

Hindarkanlah dosa di setiap anggota
Kalau boleh dosa hati jua
Kerna dosa itu merosakkan pahala
Agar kita tidak mensiakan Ramadhan
Isilah Ramadhan dgn sebaiknya
Kerna ia datang setahun sekali
Tahun hadapan belum tentu jumpa
Kerna kita mati bila-bila masa

-Hijjaz-

Monday, July 25, 2011

APA ERTI SEORANG MUSLIM..



apalah erti seorang muslim itu,



jika murabbi sendiri tidak dihormati.






apalah erti seorang muslim itu,



jika hanya memandang



tetkala musibah berlaku.






apalah erti seorang muslim itu,



jika hanya berperanan



tatkala ditaklifkan kepimpinan.






apalah erti seorang muslim itu,



jika hanya di mulut mengaku beriman,



tetapi seluruh tubuh menafikan.






apalah erti seorang muslim itu,



jika orang lain yg sering diharapkan,



sedang diri sendiri seolah-seolah dilupakan.






ya ALLAH,



Kau ampunilah kami,



Kau golongkanlah kami dalam golongan



mereka yang benar-benar beriman.

Sunday, July 24, 2011

MENANGISLAH SAHABAT..

Sekadar ingatan.....

Menangislah sahabat,

Kerna air mata adalah bicara yang terindah...

Air mata terindah lahir,
Bilamana kamu terpisah dengan kemaksiatan,
Bilamana kamu bertaubat dengan jiwa penyesalan,
Tika dirimu mengusir kawan-kawan yang buruk perangai,
Tatkala itu kamu pasti merasakan titisan air hangat dipipimu...

Dan bilamana dirimu meraih tangan,
Insan bergelar sahabat,
Tanpa dirimu sedari pipi dibasahi,
Butiran mutiara yang sangat indah...



Bilamana tercipta satu pertemuan,
Dan terungkai segala isi hati,
Terungkap sebuah jalinan persahabatan,
Tapi tibanya saat perpisahan,
Detik ini pasti akan terjadi,
Titisan hangat pasti akan menemani diri,
Kerna pertemuan dan perpisahan adalah lumrah alam...

Bertemu dan berpisah kerana Allah,
Bisa melahirkan rantai-rantai perjuangan,
Pergimu menyebarkan wangian jannah,
Moga dunia ini akan berbau haruman syurga...

Tetapi sedarlah sahabat,
Saat dirimu menghadap Rabbul Izzah,
Mutiara indah yang hadir menemani dirimu tika itu,
Itulah air mata yang paling bernilai,
Ia bisa menjadi perisai untukmu...

Sahabat andai dirimu dahagakan kasih dan cinta,
Dambalah cinta dan kasih Yang Satu...

Friday, July 22, 2011

BANGUN MALAM


Bangun malam,
Di kala bulan mengambang,
Alis mata menjadi kelam,
Gagahkan tangan,
Gagahkan kaki,
Berdiri,
Bersujud menyembah Ilahi.

Tiada paksaan,
Yang sunat digalakkan,
Yang wajib diutamakan,
Rasakan kemanisan Iman,
Hasil redha dan taqwa kepada Tuhan.

Dekatkan diri kepada-Nya,
Tiada yang kurang mahupun sia-sia,
Tenanglah minda dan hati,
Bangun malam dengan sendiri.


Thursday, July 21, 2011

TAZKIYATU AL-NAFS DAN RAMADHAN

TAZKIYATU AL-NAFS DAN RAMADHAN

1. Perkataan tazkiyatu al-nafs boleh diertikan dengan penyucian jiwa. Ia merupakan proses yang perlu dilalui untuk mencapai maksud penyucian dan pembersihan. Imam al-Ghazali (505H) menyatakan bahawa tazkiyah adalah tarbiyah yang bermaksud pendidikan. Yang ingin dibersihkan dan dididik di sini adalah jiwa kita, yang merupakan aspek dalaman, kerana dalaman seseorang akan mempengaruhi luaran dan tindakannya. Tindakan itulah pula yang dipanggil sebagai akhlak.

Jangan lupa zikrullah

2. Asal perkataan ini mempunyai kaitan dengan tugas seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah Azza wa Jalla kepada umat manusia. Selain daripada tilawah(membacakan) dan ta’lim (mengajarkan), maka tugas utama Rasul adalah tazkiyah(membersihkan), sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 129bermaksud:
Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan al-Kitab (al-Qur’an) serta hikmah (al-Sunnah) dan membersihkan (jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa, lagi maha bijaksana.

3. Begitu juga kita dapati penegasan tiga tugas ini menerusi firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 164 dan surah al-Jumu’ah ayat 2. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan tentang ayat ini bahawa:
Iaitu menjadikan mereka mempunyai hati yang suci bersih dengan keimanan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Abbas. Dan dikatakan juga maknanya membersihkan mereka daripada kekotoran kekufuran dan dosa sebagaimana yang disebut oleh Ibn Juraij dan Muqatil. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)

4. Manakala Ibn Kathir (774H) pula menyebut bahawa tazkiyah adalah proses pembersihan, katanya:
Barangsiapa yang menyucikan jiwanya dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan membersihkannya daripada keburukan. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)

Proses tazkiyah
5. Tazkiyah melalui dua proses iaitu al-takhalliyah (mengosongkan) dan al-tahalliyah(memperhiasi). Iaitu mengosongkan dan membuang segala sifat buruk daripada diri, seperti riya’, ‘ujub, hasad dengki dan sebagainya. Seterusnya memperhiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia seperti tawadhu’, sabar, mengingati mati dan lain-lain.

6. Al-Tahalliyah juga bertujuan untuk meningkatkan maqam (kedudukan) jiwa kepada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an terdapat terdapat tiga maqam jiwa manusia, maka al-tahalliyah adalah proses meningkatkan daripadaammarah bissu’ (menyuruh kepada kejahatan) kepada al-lawwamah (sentiasa mencela) dan seterusnya kepada mutm’innah (tenang).

7. Jiwa yang tenang inilah yang perlu kita capai kerana ia mendapat keredhaan Allah SWT, sebagaimana firmanNya dalam surah al-Fajr ayat 27-30 bermaksud:
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan keyakinan. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai oleh Tuhanmu. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.

Hukum tazkiyatu al-nafs
8. Menurut Imam Ghazali, hukumya adalah fardhu ain bagi setiap manusia. Ini berdasarkan kepada peristiwa pembelahan dada nabi SAW oleh malaikat Jibril untuk membersihkan jiwa nabi SAW daripada kekotoran. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa:
Jibril telah datang kepada nabi SAW yang sedang bermain denga dua kanak-kanak, Jibril pun mengambil nabi dan membelah dadanya dan hatinya dikeluarkan, lalu berkata: Ini adalah tempat syaitan daripadamu, kemudian dibasuhnya dengan air zam-zam, seterusnya dikembalikan semula ke tempat asalnya. (Riwayat Muslim)

9. Manakal Jumhur ‘ulama’ berpendapat bahawa hukum tazkiyatu al-nafs adalah fardhu kifayah, kerana asal jiwa manusia adalah bersih dan baik, kerosakan dan keburukan datang kemudian. Mereka bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikan dia Yahudi, atau Nasrani atau Majusi. (Riwayat al-Bukhari)

10. Walau bagaimanapun, kita perlu ketahui bahawa manusia sangat terdedah kepada maksiat. Maka tazkiyatu al-nafs adalah kemestian yang berterusan. Ini kerana bukan setakat jiwa dan nafsu yang perlu kita hadapi, tetapi juga syaitan yang telah berjanji kepada Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari akhirat. Inilah yang telah Allah Azza wa Jalla dedahkan kepada kita sejurus penciptaan nabi Adam AS menerusi firmanNya dalam surah al-A’araf ayat 16-17 bermaksud:
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.

Mengapa mesti tazkiyatu al-nafs?
11. Banyaknya kerosakan dan fitnah di atas muka bumi ini menuntut kita untuk membersihkan jiwa kita. Daripada yang kita lihat di hadapan mata, yang kita dengar dengan telinga kita, bahan bacaan yang bercampur di antara halal dan haram, sehinggalah makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh kita menjadikan kita wajib mencari ruang untuk kembali semula kepada syari’at. Jiwa kita perlu dibersihkan dan disucikan kembali daripada semua perkara tadi. Jiwa akan menjadi keras dan berkarat sebagaimana berkaratnya besi, maka ia perlu dikikis menurut kaedah nabi SAW. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya bagi hati itu karat sebagaimana berkaratnya besi, dan cara mengikisnya ialah dengan beristighfar. (Riwayat al-Tabrani)

12. Istighfar adalah salah satu rawatan dalam tazkiyatu al-nafs. Begitu juga dengan zikrullah (mengingati Allah). Ia tidak mesti dilakukan setiap kali lepas solat lima waktu, bahkan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, sama ada sedang duduk, memandu kenderaan, berbaring dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 191 ketika menyebut golongan ulu al-albab:
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk, dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

13. Selain itu, kita juga yang dituntut untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kejahatan, maka ia bermula dengan diri kita. Sebelum mendidik orang lain, kita perlu mendidik diri kita dahulu. Jadi, ia menjadi tanggungjawab peribadi yang perlu dilakukan. Kegagalan melakukannya boleh membawa kepada gagalnya usaha membetulkan orang lain.

14. Oleh itu, kita perlu bersungguh-sungguh dengan mujahadah yang sebenar untuk menyucikan jiwa kita. Pelbagai wasilah boleh diambil untuk mencapai objektifnya, dan Ramadhan merupakan salah satu daripadanya, ia merupakan peluang yang besar untuk menundukkan jiwa dan nafsu kita. Rebutlah peluang keemasan ini dan berlumba-lumbalah untuk beribadah dengan cara yang paling berkualiti. Sentiasa merasakan sedikitnya amal dan banyaknya dosa dan maksiat yang dilakukan mampu menjadikan kita istiqamah dalam usaha ini. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Al-‘arif (orang yang bijak) itu ialah orang yang memandang kecil kebaikannya dan memandang besar akan dosanya. Setiap kali kebaikannya kecil pada pandangannya maka ia adalah besar di sisi Allah, dan setiap kali dosanya besar pada pandangannya maka ia adalah kecil di sisi Allah. (Ibn al-Qaiyim, Madarij al-Salikin Baina Manazili Iyyaka Na’budu wa Iyyaka Nasta’ien, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, jld 1, hlmn 265)

15. Kesimpulannya, kita mesti melakukan tazkiyatu al-nafsi dengan pelbagai wasilah yang telah dianjurkan, dan Ramadhan adalah masa yang paling sesuai untuk dimaksimumkan ke arah itu.

Friday, July 1, 2011

Barakah Itu Ada Dalam Dirimu Muslimah



Sudah masuk kali ketiga Aisyah melontar anak-anak batu ke arah sekumpulan anak-anak ketam di atas pasir pantai yang memutih itu. Setiap kali terkena lontaran anak batu, bertempiaranlah anak-anak ketam lari menyelamatkan diri. Jika dilihat dari jauh, kelihatan warna-warna putih sedang bergerak dengan pantas sekali. Itulah anak-anak ketam yang sedang lari ketakutan.

Muslim hanya memandang dari jauh. Dia sengaja membiarkan Aisyah berbuat demikian. Seingatnya, ini adalah kali kedua dia membawa Aisyah bersiar-siar di tepi pantai selepas sebulan mereka mendirikan rumahtangga. Kali pertama dahulu di Teluk Batik, Perak. Dan kali ini, di kediamannya sendiri, Pulau Langkawi.

Sebenarnya dia mahu menghabiskan cuti hujung minggu kali ini bersama kedua ibu bapanya. Lalu dibawa bersama isteri tercinta pulang bersama ke kampung.

Pada fikirannya, Aisyah mungkin saja mahu merehatkan mindanya dengan melontar anak-anak batu itu. Atau mungkin saja mahu melepas geram kepada seseorang. Atau mungkin sebagai suka-suka, tanpa ada sebarang tujuan yang munasabah.

Muslim menapak mendekati Aisyah. Tiba di bawah salah satu rendangan pokok gajus, dia berhenti. Selipar yang dipakai terus ditanggalkan. Lalu dia duduk di atasnya.

"Belatih melontar jamrah ke?"

Sapa Muslim sebaik saja melabuhkan punggungnya di atas pasir pantai, beralaskan selipar miliknya.

"Taklah.."

Balas Aisyah spontan. Dia sedikit terkejut dengan sapaan Muslim kerana sejak dari tadi kelibat Muslim tidak kelihatan. Tetapi muncul pula secara tiba-tiba di belakang.

"Melepas geram?"

"Hmm.. Tak.."

"Membunuh anak-anak ketam yang comel-comel tu dengan kejam?"

"Tak jugak."

"Habis tu?"

Aisyah hanya tersenyum. Lalu anak-anak batu yang ada berada digenggaman tangan kirinya, dilontar manja ke arah Muslim. Dia menuju ke arah Muslim yang sedang duduk di bawah pohon gajus.

"Abang ni.. Dah la tadi hilang camtu ja.. Tahu-tahu ada ja kat belakang.."

"Abang pergi tengok orang kutip siput tadi. Cadang nak ajak Sayang sekali. Tapi Nampak macam tengah seronok membaling ketam, so tak jadi ajak la.."

"Ish abang ni.. Mana da Sayang baling ketam.."

"Ye ke? Habis tu?"

"Sayang tengah buat satu kesimpulan tau!"

"Kesimpulan?"

"Yup. Satu kesimpulan. Bahawa untuk mencapai cita-cita itu, perlu ada tujuan, usaha dan perancangan yang rapi dan jelas. Di sebalik perancangan, akan ada kegagalan yang akan kita terima. Tapi, semua cabaran tu akan membuahkan hasil bila kita sabar dalam mengharunginya. Dan yang paling penting sekali, tujuan untuk mencapai matlamat itu mestilah betul-betul mantap. Dalam erti kata lain, ianya amat berkait rapat dengan niat. Niat mestilah betul. Dan bagi kita seorang Islam, niat itu tidak lain dan tidak bukan, hanyalah kerana Allah S.W.T."

Panjang lebar penerangan yang keluar daripada mulut Aisyah. Muslim tersenyum kagum. Sememangnya jika dilihat pada wajah Aisyah, terdapat tanda-tanda bahawa dia seorang yang cerdas.

"Jadi, apa kaitannya dengan batu-batu tadi?"

Muslim kembali menyoal.

Aisyah lalu meluruskan jarinya telunjuknya ke arah seketul batu besar berwarna perang keputihan.

"Abang nampak tak batu tu?"

Muslim mengangguk kecil.

"Sayang andaikan batu tu sebagai matlamat. Balingan batu-batu kecil ni sebagai usaha dan tujuannya, Sayang nak semua batu ni kena tepat kat batu besar tu."

"Maksudnya abang silap la tadi?"

"Yup, totally wrong my dear."

"Jadi, kesimpulannya?"

"Kesimpulannya, usaha tu perlu berulang kali dilakukan. Sebab tu la banyak batu kat tepi-tepi batu besar tu. Sayang baling tak kena. Hehe.."

"Sayang tak baca bismillah dulu kot.."

"Sayang dah baca la..

Aisyah mempertahankan pendiriannya.

"Kalau macam tu, cuba baling lagi sekali. Mana tau kot-kot kena."

Batu yang berada di tangannya digenggam erat. Kini dia bersedia untuk melontar buat kali keempat. Terkumat-kamit mulutnya membaca bismillah.

Lalu dengan sekuat hati, Aisyah melontar anak batu itu. Malangnya tidak mengena sasaran. Habis masam mukanya.

Muslim geli hati melihat telatah Aisyah. Hampir-hampir saja dia terbahak-terbahak dengan kelakuan Aisyah.

"Sayang nak dengar satu cerita tak?"

Muslim tiba-tiba bertanya kepada Aisyah. Seolah-olah tidak melihat apa yang dilakukan Aisyah sebentar tadi.

"Cerita? Cerita apa?"

"Satu cerita tentang 'niat, usaha dan hasil!' "

"Cerita Pak Pandir ea?"

Aisyah meneka.

"Tak! Ni cerita betul punya.."

"Ea? Ok ok! Cerita la.."

"Dalam cerita ni, ada seorang budak lelaki. Dipendekkan cerita, satu hari dia terbaca satu buku agama. Dalam buku tu, ada satu hadis yang bermaksud, 'Kahwinilah gadis yang solehah, pasti kau akan mendapat barakah'. "

Kata-katanya tiba-tiba terhenti di situ.

"Hek eh.. Ni mesti cerita jiwang kan??"

Soal Aisyah.

"Dengar bagi habis dulu.. Nanti baru nilai.."

Balas Muslim spontan.

Muslim memandang ke arah laut yang berombak tenang. Bunyi pukulan ombak yang menghempas pantai sedikit sebanyak menenangkan jiwanya saat itu. Lalu dia kembali bersuara..

"Satu hari, dia terpilih untuk ke program matrikulasi. Sepanjang hidupnya di matrik, dia cuba untuk dapatkan jawapan kepada maksud hadis tu. Dia pun tahu. Maksud 'gadis yang solehah' tu luas sekali. Di sebabkan tu, dia bertanya kepada ustaz dan ustazah bagi mendapatkan jawapan. Ternyata banyak sekali jawapan yang diterima. Ada yang mengatakan gadis yang solehah tu, seperti selalu solat berjemaah. Ataupun yang sopan santun akhlaknya. Atau juga seorang yang taat kepada kedua ibu bapanya.

Tapi malangnya, semua jawapan tu tidak dapat diaplikasikan. Kalau hendak melihat kepada mereka-mereka yang selalu solat berjemaah, itu satu perkara yang mustahil. Ini kerana pada bahagian muslimah, ada tirai yang menghadang. Jadi, jawapan yang pertama tidak dapat digunakan. Lalu dia memilih jawapan yang kedua. Jawapan ini juga tidak dapat diguna pakai.

Hendak menilai sopan santun yang ada pada seseorang itu, berkait rapat dengan keakraban yang ada. Ini juga satu perkara yang mustahil. Kalau sama-sama lelaki, tak menjadi masalah kan? Jadi dia memilih pula jawapan ketiga, iaitu taat kepada kedua ibu bapa. Jawapan ini lagilah rumit buat dirinya. Hidup di matrik, tidak bersama-sama ibu bapa. Jadi pastinya jawapan itu tidak dapat digunakan juga.

Lalu dia berfikir sendirian. Sambil berfikir dia memerhati rakan-rakan yang ada di sekeliling. Lama dia memerhati, tiba-tiba suatu hari muncul satu pemandangan di matanya. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang berjalan di bahu jalan. Kemas pakaian mereka. Pakaian mereka labuh menutup aurat, sebagaimana yang telah diperintahkan syariat. Sama sekali tidak kedengaran suara-suara gelak ketawa sesama mereka.

Apa yang ada, hanya balasan kata-kata berserta senyuman manis sesama mereka. Dan yang paling menarik perhatian budak lelaki ini ialah, tudung labuh yang menutup tubuh badan mereka. Kemas dan indah. Dia juga tidak tahu mengapa hatinya merasa begitu aman dan lapang waktu itu. Saat itu, hatinya merasa tenang.

Pada esok harinya, dia pergi berjumpa ustazah. Lalu diceritakan apa yang dilihatnya semalam. Selesai saja bercerita, ustazah mengatakan sesuatu padanya. Kata ustazah, "itulah salah satu maksud 'wanita solehah' ".

Muslim menghentikan ceritanya di situ. Nafas ditarik panjang. Lalu disambung kembali..

"Dan bermula saat tu, budak lelaki tadi mempersiapkan niat dan usaha bagi mencari wanita solehah. Di samping mencari yang solehah, dia juga berusaha menjadi sesoleh mungkin. Dan akhirnya, Allah telah memperkenankan niatnya. Dia telah mendapat seorang yang solehah bagi melengkapkan separuh daripada agamanya. "

Senyuman diukir menandakan ceritanya telah tamat. Aisyah yang berada di samping hanya tersenyum. Kepalanya kemudian didongak ke langit. Mahu melihat awan barangkali.

"Tak jiwang kan??"

Muslim menduga.

"Haha.. Ntah.. No komen."

Balas Aisyah bersahaja.

"Tapi kan, mesti untung perempuan tu. Zaman sekarang ni bukan senang nak dapat lelaki yang macam tu. Niat asal berkahwin pun dah jelas dengan syariat, apatah lagi jalan-jalan ke arah tu."

"Tapi sebenarnya, lelaki tu yang untung. Sebab si muslimah tu terima khitbah dia. Dan sekarang ni, dia tengah bahagia dengan simuslimah di tepi pantai yang cantik dan putih."

"Ha? Tengah bahagia kat tepi pantai? Macam mana abang tahu?"

"Sebab orangnya tu ialah... Sayang."

Terkejut Aisyah dengan apa yang diberitahu. Sama sekali dia tidak menjangka, itu ialah kisah Muslim sebelum bertemu dengannya. Dirinya menyangka bahawa watak dalam cerita itu tadi barangkali adalah kawan Muslim.

Saat itu Aisyah merasa amat terharu. Air matanya tiba-tiba menitis ke pipi. Bukan kerana sedih, tetapi merasakan satu nikmat pemberian daripada Allah, berupa seorang suami yang soleh.

"Nangis pulak Sayang ni.."

"Bukan nangis la.. Air masin masuk mata tadi.."

"Ok, sekarang ni cuba baling lagi sekali batu tu."

"Lagi sekali?"

"Yup!"

"Kalau tak kena?"

"Insya-Allah kena. Abang doakan."

Aisyah memejamkan kedua matanya. Cerita yang didengar tadi seperti ceramah daripada seorang pakar motivasi. Yang diterimanya, niat itu diletakkan hanya kerana Allah. Lalu dia membulatkan niat di hati, agar batu yang dibaling itu nanti hanya kerana Allah. Biarpun hanya membaling batu, namun niat itu sememangnya satu tonggak terpenting dalam apa jua pelaksanaan.

Tangan digenggam erat. Aisyah mengumpulkan seluruh tenaga yang ada. Setelah cukup bersedia, dia melontar dengan penuh bersemangat.

Anak batu itu meluncur dengan lajunya di atas angin. Tiba-tiba..

"Ketuk!"

Balingan Aisyah kali ini tepat ke arah batu besar di hadapan.

"Alhamdulillah, dah kena!"

Sorak Aisyah gembira.

Muslim datang menghampiri. Lalu, memberi satu ciuman di dahi isteri tersayang..

"Satu ciuman di atas berkat usaha anda. Hehe.."

"Ada-ada ja abang nih.."

"Dah la.. Jom kita balik rumah. Tadi mak ada call. Katanya petang ni nak buat masak-masak sikit. Nanti boleh la tolong-tolong kat dapur. Sambil-sambil tu Sayang boleh sembang-sembang dengan mak."

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda,

Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu. (Riwayat Muslim)

- Artikel iluvislam.com

CIRI-CIRI LELAKI SOLEH DI SISI ALLAH

1) sentiasa taat kepada ALLAH dan Rasulullah

2) Jihad Fisabililah adalah matlamat dalam hidupnya

3) Mati syahid adalah cita-cita hidup yg tinggi

4) Sabar dalam mengahadapi ujian dan cabaran dari ALLAH

5) Ikhlas dalam beramal

6) Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya

7) Sangat takut kepada ujian ALLAH dan ancamannya

8) Selalu memohon ampun ke atas segala dosa2nya

9) Zuhud dengan dunia ttp tidak meninggalkannya

10) Solat malam menjadi kebiasaannya

11) Tawakkal penuh kpd ALLAH dan tidak mengeluh kecuali kpd ALLAH

12) Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkar

13) Pemaaf dan berlapang dada dlm menghadapi kebodohan manusia dan tawadhuk penuh kpd ALLAH

14) Berkasih sayang dan penuh pengertian kpd keluarga