Sunday, August 14, 2011

ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah

  • Apakah pengertian Zakat Fitrah?

    Zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

  • Apakah dalil zakat fitrah?

    Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:

    “Rasulullah S.A.W. telah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang gandum (syair) ke atas setiap orang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan orang tua atau kanak-kanak yang terdiri daripada orang Islam.”
    (Riwayat Al-Bukhari)

  • Adakah wajib berniat untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri atau sebagai wakil?

    Setiap pembayar zakat atau wakilnya wajib berniat mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan tanggungannya atau sebagai wakil.

  • Apakah syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah?

    Syarat-syaratnya ialah:

    • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan diri dan tanggungannya pada satu Syawal.
    • Anak yang lahir sebelum (uruf) matahari akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari Ramadan.
    • eseorang yang meninggal dunia selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan.
    • Menganut Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya sehingga awal Syawal.
  • Berapakah kadar pembayaran zakat fitrah?

    Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

  • Bilakah waktu pembayaran zakat fitrah?
    • Waktu Wajib : Akhir Ramadan sehingga terbit matahari.
    • Waktu Sunat : Sepanjang bulan Ramadan
    • Waktu Makruh : Selepas solat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
    • Waktu Haram : Selepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.
  • Bagaimanakah kaedah pembayaran zakat fitrah?

    Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan (beras) atau yang senilai dengannya. Ini adalah berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudry yang bermaksud:

    “…. adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W. sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap seorang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang syair, tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah bin Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: saya berpendapat, bahawa dua mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Said berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya”.
    (Riwayat Muslim)

  • Adakah harus membayar zakat fitrah melalui kaedah selain melalui amil yang dilantik seperti perbankan internet, SMS, pos dan lain-lain?

    Harus tetapi wajib niat untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya.

  • Seorang isteri sarat mengandung 9 bulan. Sehingga habis Ramadan anaknya belum lahir kandungannya lagi, adakah wajib zakat fitrah ke atas anak dalam kandungan itu?

    Tidak wajib kepada anaknya kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

  • Adakah wajib zakat fitrah bagi seseorang yang meninggal sebelum terbenam matahari akhir Ramadan?

    Tidak wajib kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

  • Saya mempunyai seorang bapa yang susah (miskin) dan telah berkahwin dengan seorang wanita lain yang mempunyai anak-anak. Ibu tiri saya ini juga seorang yang susah. Soalan saya, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk ayah saya, ibu tiri dan adik-adik tiri saya?

    Anda wajib tunaikan zakat fitrah untuk ayah anda sahaja kerana beliau merupakan tanggungan anda. Manakala, ibu tiri dan adik-adik tiri anda pula adalah di bawah tanggungan ayah anda. Oleh itu anda tidak wajib membayar zakat bagi pihak mereka.

  • Suami saya sedang bertugas di luar negara, bagaimana caranya jika beliau ingin membayar zakat fitrah bagi tanggungannya, iaitu saya dan anak-anak? Adakah perlu suami membayar di luar negara, iaitu tempat beliau bertugas sekarang atau adakah perlu saya mewakilkan abang kandung saya untuk membayar zakat fitrah bagi pihak suami?

    Suami anda dan anda boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang berada di kariah anda dan tanggungan suami.

  • Apakah hukum seseorang yang terlupa membayar zakat fitrah? Apakah yang perlu dilakukan bagi menebus kelalaian tersebut?

    Haram melengahkan pembayaran zakat fitrah sama ada sengaja atau terlupa sehingga terbenam matahari satu syawal. Sekalipun demikian anda tetap wajib qada bayar zakat fitrah tersebut.

    Rasulullah SAW dalam sabdanya riwayat daripada yang bermaksud:
    “Zakat fitrah itu tunaikan bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat ‘Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja.”

    (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

  • Adakah asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan LZS wajib membayar zakat fitrah?

    Ya, wajib bayar sekiranya cukup syarat.

  • Adakah amil boleh menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk beras?

    Ya, wajib terima

    # soalan dan jawapan rujukan daripada lembaga zakat selangor.

Saturday, August 13, 2011

DEFINASI AJARAN SESAT 3

Definisi Ajaran Sesat

Istilah Ajaran Sesat adalah istilah yang lazim dan popular yang digunakan di kalangan masyarakat Malaysia kebelakangan ini terutamanya pihak birokrasi agama dan media arus perdana di Malaysia. Di samping itu, terdapat beberapa istilah lain yang kerap digunakan dalam media arus perdana yang mempunyai konotasi makna lebih kurang sama dengan ajaran sesat iaitu ajaran salah, pencemaran akidah dan penyelewengan akidah.

Istilah ‘penyelewengan akidah’ adalah ungkapan yang cuba menggambarkan bentuk akidah yang sudah menyimpang ataupun tidak menurut landasan dan perintah yang ditetapkan di dalam al-Quran dan sunnah. Sudah tentu dalam konteks Malaysia, ia menyimpang daripada pegangan Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah. Selanjut, apabila ditinjau sebab-sebab berlaku penyelewengan akidah, sudah tentu ia tidak lari daripada anutan fahaman-fahaman yang diresapi unsur-unsur yang tidak selaras dengan ajaran sebenar al-Quran dan sunnah serta formula yang diijtimakkan oleh golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.[1]

Perlu ditegaskan, gejala ajaran sesat bukan hanya berlaku di dunia Islam, malah gejala itu turut berlaku di dunia bukan Islam seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun, China dan sebagainya. Di Britian, gejala ajaran sesat ini dikenali sebagai ‘The New Religious Movetnent’. Istilah itu digunakan oleh Eileen Barker di dalam bukunya yang bertajuk New Religious Movements yang diterbitkan pada tahun 1982 di New York. Di Britian sahaja, terdapat lebih daripada 500 buah kumpulan seumpama ini. E. Barker yang menulis buku itu menyenaraikan beberapa kumpulan baru seperti Aetherus Society, Ananda Marga, Brahma Kumaris, Nichiren Shoshu Budhism, Unification Church dan banyak lagi.[2]

Di Amerika Syarikat pula, istilah ‘The New Religions’ digunakan oleh Jacob Needlemen dalam bukunya yang bertajuk The New Religions yang diterbitkan di New York tahun 1970. Di dalam buku itu, J. Needlemen menyenaraikan beberapa kumpulan yang dianggap baru seperti Zen Buddhism, Meher Baba, Subud, Transcendetal Meditation, Krishnanmurti dan lain-lain lagi.[3]

Sementara itu, Melton J. Gordon pula menggunakan istilah cult merujuk pada gejala ajaran sesat di dalam bukunya Encyclopaedic Hand Book of Cults in America.[4] Selain daripada itu terdapat pula istilah-istilah lain yang digunakan bagi merujuk pada gejala ajaran sesat iaitu cults, occult,black maqic dan mystics.

Buku-buku itu secara keseluruhan membincangkan kemunculan berbagai-bagai ajaran baru dengan agak panjang lebar. Istilah agama-agama baru ini digunakan mungkin bagi merujuk pada kumpulan-kumpulan ajaran yang meyeleweng dan berlawana dengan agama-agama lama yang dominan di dunia seperti Budhisme, Hinduisme, Judaisme, Kristian, Islam, Confucianisme dan Taoisme.

Kesimpulannya, konotasi makna istilah-istilah yang dihuraikan pada dasarnya tidak berlawanan antara satu sama lain. Sebaliknya berkait rapat sehinga semua istilah itu daripada segi penggunannya saling kuat-menguatkan dan dapat ditukar gantikan antara satu sama lain bagi merujuk pada kesesatan ajaran yang dianuti.

Definisi daripada Segi Bahasa dan Istilah

Istilah ‘ajaran sesat’ adalah istilah yang besifat relative kerana terdapat banyak takrifan dan definisi yang diberikan oleh pelbagai pihak. Menurut Kamus Dewan, ajaran ditakrifkan sebagai segala perkara yang diajarkan, nasihat, petunjuk, teori dan mazhab.[5] Manakala ‘sesat’ pula ditakrifkan sebagai tidak mengikut jalan yang betul, berslah (tersilap) jalan, terkeliru (perbuatan, kepercayaan) dan menyimpang daripada jalan yang benar.[6]

Oleh itu, dapat disimpulkan dalam penggunaan Bahasa Melayu, ajaran sesat adalah ilmu yang diajar dan disebarkan sama ada secara rahsia mahupun secara meluas kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran asal.

Ajaran sesat ditakrifkan oleh Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atupun bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan ajaran Islam. Hakikatnya, ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islam, bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahli as-Sunnah wa al-Jamaa’ah.[7]

Takrif di atas apabila diperhalusi, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan selaras dengan konsep penyelidikan sebenar. Pertama, ayat “sebarang ajaran ataupun amalan yang dibawa oleh orang Islam” lebih sesuai diubah kepada “sebarang ajaran ataupun amalan yang diasaskan dan didukung oleh orang-orang Islam”. Ini kerana perkatan ‘dukung’ bermaksud memikul atau menyokong dan berusaha dan sebagainya bagi menjayakan, memperkukuhkan, menegakkan dn memperjuangkan satu fahaman.[8]

Manakala ungkapan “orang-orang bukan Islam” pula dikekalkan dalam takrif itu kerana terdapat juga sebahagian ajaran yang menyelewengkan daripada Islam didukung oleh orang-orang bukan Islam. Namun akhirnya dianuti oleh umat Islam seperti ajaran Komunisme, Kapitalisme, Sekularisme, Kristian dan lain-lain lagi.

Seterusnya, susunan rujukan utama dalam Islam dalam takrif asal didapati tidak teratur yang bermula dengan akidah Islam, kemudian al-Quran dan sunnah dan akhirnya dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jamaa’ah.

Oleh yang demikian ajaran sesat dapat ditakrifkan sebagai “Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan pada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah.”

Profesor Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim mendefinisikan ajaran sesat sebagai ajaran dan amaln yang bertentangan dengan Islam. Pada satu masa lain, Prof. Dr. Abdul Fatah menghubungkaitkan ajaran sesat dengan tasawuf (tarekat). Ini kerana masyarakat Islam dewasa ini meletakkan tasawuf (tarekat) bukan pada tempat yang sebenar. Natijahnya, ilmu tasawuf (tarekat) bertukar wajah sebagai ajaran sesat akibat sesat akibat penglibatan masyarakat awam yang bukan daripada kalangan ahli falsafah dalam masalah ilmu falsafah.[9]

Berdasarkan definasi yang dinyatakan, segala ajaran sama ada daripada aspek akidah, ibarat dan tasawuf yang terjelma dalam anutan dan pegangan hidup yang diresapi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti Batiniyyah, Hinduisme, Neoplatonisme,[10] penafsiran menyeleweng pada al-Quran, hadis serta menggunakan hadis palsu. Hasilnya, segala ramuan yang teradun dan teranyam rapi menjadi citra kepada apa yang diungkapkan sebagai ajaran sesat.

Dalam bahasa Inggeris, ajaran sesat dikenali dengan istilah cult yang merujuk pada kumpulan agama yang patuh kepada seorang pemimpin yang dihormati yang membawa ajaran baru ataupun amalan rohani yang laur biasa. Istilah lain yang popular digunakan di kalangan ahli akademik Barat yang merujuk pada ajaran sesat adalah New Religion Movement.[11] Dalam bahasa Arab, ajaran sesat diterjemakan kepada beberapa istilah. Antaranya al Falsafah al Dahriyyah[12] iaitu aliran yang mendukung fahaman mengingkari wujudnya Tuhan maha pencipta, maha mengetahui dan maha berkuasa. Mereka menganggap alam ini wujud dengan sendiri tanpa ada pencipta dan mereka adalah golongan zindiq.

Jelas di sini, perkataan sesat dalam bahasa Arab diterjemahkan kepada dalla yadillu dalalan. Merujuk pada kehilangan sesuatu, jauh daripada kebenaran, menyimpang, terkeluar dan menyeleweng daripada jalan yang lurus. Lawan bagi perkataan hudan yang bermaksud hidayah petunjuk.[13]

Ahmad Rida pula mentakrifkan dalal dengan pengertian segala perkara yang terkeluar dan menyimpang daripada kebenaran sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja, banyak ataupun sedikit.[14]

Manakala dalal daripada sudut istilah akidah pula adalah menyimpang daripada jalan yang lurus iaitu Islam yang disyariatkan Allah kepada sekalian manusia. Tidak mengambil kira sama ada secara sengaja mahupun tidak. Pendek kata, orang yang sesat adalah orang yang menyeleweng dan menyimpang daripada agama Allah.[15]



[1] Zakaria Stapa, Prof. (2002), op. cit., h. 52,

[2] Eileen Barker (1982), New Religious Movements: A Perspective for Understanding Society. New York: Edwin Mellen Press, h. 37-55,

[3] Jacob Needlemen (1970), The New Religions. Garden City, New York: Doubleday & Co.. h. 5; Dr. Wan Mohd. Azam Wan Mohd. Amin (1995), “Punca Ajaran Sesat: Akibat Kekosongan Jiwa, Dakwah”, Bil. 214, Tahun XVII, Mac 1995, h. 28.

[4] Melton J.Gordon (1992), Encyclopaedic Hand Book of Cults in America. 2nd. Ed.. New York: Garland, h 1-7.

[5] Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2002. H. 18.

[6] Ibid., h. 1267.

[7] Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri (t,t,), Kriteria dalam Ajaran Sesat.Kuala Lumpur: Percetakan National Malaysia. Ha. 1; Lihat Mustafa bin Abdul Rahman (2001), “Maklumat Terkini Ajaran Sesat: Punca dan Cara Mengatasinya” (Kertas Kerja Ijtimak Guru-guru Takmir Masjid/Suarau Peringkat Kebangsaan Anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Soasial dan Pengurusan Masjid (KESUMA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Pusat Islam, Kuala Lumpur, 8-9 Mei 2002, h. 2.

[8] Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 2002. H. 320.

[9] Abdul Fatah Haron Ibrahim, Prof. Dr.(1994), Ajaran sesat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h, 1-2.

[10] Neoplatonosme diasaskan oleh seorang yahudi bernama Philo 20 tahun sebelum Masihi. Dialah orang pertama yang membuat takwilan hendak menyesuaikan wahyu dengan akal atau Taurat dengan falsafah. Alam Taurat ada kisah Adam, Hawa dan ular, lalu Philo mentakwilkan Adam itu sebagai akal, Hawa itu ialah pancaindera dan ular pula ialah keseronokan, Philo juga mengatakn bahawa Tuhan yang menjadikan alam misal. Lihat: J. Feibleman (1973), Understanding Philosophy. New York: Horizon Press, h, 80-82,

[11] The World Book Encyclopaedia, vol. 4, Chicago, USA: World Book Inc..1987, h. 9406.

[12] Abu Hamid al-Ghazali (1962), alMunqidh min alDalal, Kaherah: Maktabah al-Anglo al-Misriyyah, h, 141-144.

[13] Abu al-Husayn Ahmad bin Faris bin Zakariyya (1991), Mu’jam Maqayis al-Lughah. ‘Abd al-Salam Muhammad Harun (tah.), j. 3, Beirut: Dar al-Jayl, h. 356-357; Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali al-Muqri al-Fayyutni (t,t) al-Misbah al—Munir. Kaherah: al-Matba’ah al-Amiriyyah, h 9; Abu al-Qasim al-Husayn bin Muhammad al-Raghib al-Asfahani (t,t), al-Mufradat fi Gharib al-Quran, Beirut: Dar al-Fikr, h, 306.

[14] Syaykh Ahmad Rida (1959), Mu’jam Matn al-Lughah, j, 3. Beirut; Dar Maktabah al-Hayah, h. 560.

[15] Ahmad ‘Atiyyah Allah (1976), alQamus alIslami. Kaherah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah, h. 410.

Friday, August 12, 2011

AJARAN SESAT 2

PENGERTIAN AJARAN SESAT
• Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN AJARAN SESAT
• Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.
• Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT
• Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.
• Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
• Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.
• Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
• Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
• Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.
• Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.
• Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.

KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT

1. Kesan terhadap individu:
(a) akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepadaajaran Islam;
(b) masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat;
(c) minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik;
(d) kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.


2. Kesan terhadap masyarakat:
(a) keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka;
(b) perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;
(c) berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. Kesan terhadap negara:
(a) negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu;
(b) negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.


CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT

Qadiani

1. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi.
2. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India.
3. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi.
4. Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi.
5. Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:
(a) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu);
(b) beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah;
(c) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat;
(d) menghapuskan jihad;
(e) mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr;
(f) mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T;
(g) mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji;
(h) mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India;
(i) menghukum kafir selain penganut Qadiani.


Bahai

1. Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi.
2. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah.
3. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi.
4. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi.
5. Ajaran Bahai mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong.
6. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:
(a) beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T.;
(b) beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai;
(c) beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal);
(d) beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi;
(e) beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib;
(f) mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut;
(g) menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka;
(h) memansukhkan agama Islam;
(i) menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru;
(j) mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali; menghapuskan jihad.


Taslim

1. Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari.
2. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
3. Ajaran ini merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:
(a) beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad;
(b) beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim;
(c) mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu;
(d) mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin;
(e) menolak kewujudan hari kiamat, syurga,dan neraka;
(f) solat secara niat tanpa rukun qauli(perkataan) dan fikli (perbuatan);
(g) menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT

1. Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.
2. Menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan simposium.
3. Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.
4. Program pemulihan akidah. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.



Mohd Zaini Yahya. 2003. Pendidikan Islam Tingkatan 5